BLOGGER TEMPLATES AND YouTube Backgrounds »

Tuesday, May 18, 2010

Love is Cinta

Apakah cinta itu sebenarnya? Bagaimana Islam memandang cinta? Bagaimana pula jika cinta telah menghampiri kita?

Cinta atau mahabbah asalnya bermakna bening dan bersih. Boleh diertikan juga air yang melimpah ruah selepas hujan turun dengan lebatnya. Oleh itu boleh disimpulkan al Mahabbah sebagai luapan hati dan gelojak rindu ketika diselubungi keinginan untuk bertemu dengan kekasih.Cinta boleh membawa sengsara namun boleh juga membawa bahagia. Ianya bergantung kepada bagaimana kita mengurus cinta itu. Islam memandang cinta terhadap berlainan jenis dalam 3 perspektif :

1. Menyintainya kerana Allah (mendekatkan diri pada Allah dan mentaatiNya) . Ini termasuk cinta yang bermanfaat. Contohnya cinta suami isteri yang bernikah untuk menjaga dirinya dari perkara maksiat dan juga bernikah kerana mengikuti sunnah Rasulullah menyambung generasi pejuang.

2. Cinta yang mendatangkan murka Allah. Lebih kita kenali sebagai cinta kerana nafsu berahi. Cinta inilah yang memalingkan kita dari Allah, membuat kita lupa akanNya dan mendorong untuk melanggar syariatNya. Firman Allah yang bermaksud "Dan di antara manusia ada orang yang mengangkat sesembahan selain Allah, mereka mencintai sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman sangat cintanya pada Allah. Dan Allah tidak akan menunjuki orang-orang fasik." ( al-Baqarah :65)

3. Cinta yang mubah (harus), adalah cinta yang tidak ada unsur kesengajaan. Misalnya 'cinta pandang pertama' yang tidak sampai kita membuat maksiat kepada Allah. Kita merahsiakannya dan menahan diri kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang.


Jadi bagaimana kita menanggapi dan mengurus perasaan cinta yang menghampiri kita?


Mana mampu kita hendak menolak cinta yang datangnya tanpa diundang. Memang perasaan cinta tidak boleh ditahan dan dibendung cuma kita hendaklah berlaku jujur dan menyalurkannya mengikut kehendak syariat. Perasaan 'cinta suci remaja' memang biasa diucapkan. Cuma dalam hal ini syaitan memainkan peranan dalam menggelincirkan kita kepada kemungkaran dan larangan Allah. Memang adat bercinta semuanya mendakwa cinta mereka ikhlas dan suci murni tetapi syaitan memainkan peranannya sehingga tidak kita sedari ia banyak melanggar larangan Allah. Ingatlah bahawa setiap yang haram itu adalah haram walau apa keadaan sekalipun cuma kita yang kadang-kadang cuba 'menghalalkannya' dengan membuat pelbagai alasan, itu dan ini. Di sisi Allah ia adalah satu dosa dan setiap dosa layaknya adalah neraka.



Pun begitu perhatikanlah juga perkara-perkara di bawah ini agar hatimu tidak mudah menjadi rawan :


1. Tundukkan pandanganmu dari perkara-perkara yang boleh menaikkan nafsu. Ataupun janganlah merenung kaum berlawanan jenis (an Nur:30-31)

2. Hindari berdua-duaan dan ikhtilat (campur gaul tanpa batasan). Elakkan berinteraksi dengan bukan mahram dengan perkara-perkara kurang penting yang melalaikan.

3. Hindari dari menonton filem atau drama atau cerita cinta yang mengasyikkan dan mengghairahkan nafsu.

4. Hindari bacaan/novel yang menghanyutkan hati kita lantas tergoda dengan perangkap cinta palsu.

5. Hindari lagu-lagu cinta kerana boleh melemahkan hati dan memendekkan cita-cita.

6. Sibukkan dengan mengaji dan berzikir. Bergaullah dengan kawan-kawan yang baik kerana kadang-kadang hati kita kalah kepada 'cinta' ini kerana kebodohan kita terhadap ilmu agama dan lemahnya iman kita.

7. Apabila kita telah mempunyai seorang 'teman akrab', cukuplah kiranya kita fahami maksud firman Allah "Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit kedua tangannya seraya berkata "Aduhai kiranya dulu aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku. Kiranya aku dulu tidak menjadikan si fulan itu teman akrabku (kekasihku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku al-Quran ketika al-Quran telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia" (al-Furqan"27- 29). Maka janganlah kita menyesal dikemudian hari kerana terlanjur mengambil seorang 'teman akrab' yang kononnya menyintai kita.

8. Puasalah untuk meredam perasaan nafsu dan rindu. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: "Adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan nafsunya maka sesungguhnya syurgalah tempatnya" (an-Naziat:40- 41).

9. Bernikah sahajalah jika sudah benar-benar mampu dari segi fizikal, kewangan, emosi dan intelekmu.

0 comments: